"Wahai manusia! telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi berkat. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam (Lailatul-Qadar) Yang lebih baik dari seribu bulan. Satu bulan yang Allah S.W.T telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya(bertarawikh) sebagai satu amalan sunnat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu didalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan yang lain"
Ia adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan diri dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun dari ganjarannya. Sahabat-sahabat r.a. lalu berkata "Tidaklah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka", Maka Rasulullah S.A.W bersabda "Allah S.W.T memberi pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka"
Ia adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya(Pekerjaan-pekerjaannya) pada bulanitu maka dia akan diampunkan oleh Allah S.W.T dan akan dilepaskan dari azab api neraka.
Perbanyakkan lah pada bulan itu empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkataan lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain dari Allah S.W.T. dan kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah dan meminta perlindungan dari api neraka.
Sesiapayang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah S.W.T akan memberinya minum dari telagaku(Pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.
Keterangan :-
[Keterangan Akan disambung sedikit demi sedikit...]
Terdapat pertikaian di kalangan para muhaddithin terhadap beberapa orang perawi hadith ini. Namun demikian mereka masih boleh diterima dengan alasan bahawa, pertamanya hadith ini merupakan hadith fadhail dan keduanya kebanyakan isi hadith ini disokong oleh riwayat-riwayat yang lain. Beberapa perkara dapat diketahui dari hadith ini. Pertamanya, perhatian yang diberikan oleh Nabi S.A.W secara khusus diakhir Sya'ban untuk memberi penerangan dan peringatan kepada orang ramai agar satu saat pun daripada Ramadhan Al-mubarak tidak berlalu dengan lalai. Kemudian dalam peringatan itu selepas menerangkan kelebihan keseluruhan bulan tersebut, Baginda telah menarik perhatian kita secara khusus kepada beberapa perkara. Pertama-tamanya ialah Lailatul Qadr. Pada Hakikatnya ia adalah satu malam yang sangat penting. Penerangan tentangnya didalam kitab ini akan datang dalam bahagian yang kedua nanti.
Selepas itu Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa Allah S.W.T telah memfardhukan puasa padanya dan telah menjadikan berdiri pada malamnya yakni Tarawikh sebagai satu amalan sunnat. Dari kenyataan ini, dapat diketahui bahawa perintah untuk Tarawikh datang dari Allah S.W.T sendiri. Mana-mana riwayat yang menyatakan bahawa Nabi S.A.W mengaitkan perintah itu kepadanya sendiri dengan berkata "Saya yang menjadikannya sunat" membawa maksud penekanan iaitu Rasulullah S.A.W sangat memberi penekanan terhadapnya. Oleh kerana itulah semua imam-imam mazhab bersepakat bahawa ia adalah sunat. Ditulis dalam kitab 'Burhan' bahawa dikalangan orang-orang islam, tiada yang mengingkarinya kecuali golongan Syiah. Hazrat Maulana Shah Abdul Haq Muhaddith Dehlawi rah. telah menukilkan didalam kitabnya Ma Thabata Bissunnah dari beberapa kitab feqah bahawa sekiranya penduduk mana-mana bandar meniggalkan solah Tarawikh maka pemerintah hendaklah memerangi mereka dengan alasan peninggalan tersebut.
Disiini ada satu hal yang sangat penting untuk diperhatikan. Orang ramai menganggap bahawa sudah memadai mereka bersolah Tarawikh dengan mendengar seluruh Al-Quran dibacakan dalam lapan atau sepuluh malam dimana-mana masjid dan selepas itu mereka terus rehat. Perlu diperhatikan disini bahawa terdapat dua sunnah yang berasingan. Membaca atau mendengar seluruh Al-Quran di dalam Tarawikh, ini adalah satu sunnah yang tersendiri. Manakala bersolah Tarawikh di sepanjang Ramadhan juga adalah satu sunnah yang tersendiri. Jadi sekiranya amalan orang ramai seperti yang dinyatakan diatas maka mereka telah mengamalkan hanya satu sunnah dan meninggalkan satu sunnah yang lain. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang susah untuk berada setempat kerana perjalanan dan lain-lain, adalah baik jika mereka dapat mendengar seluruh bacaan Al-Quran didalam solah Tarawikh pada beberapa hari permulaan supaya tidak akan berlaku kekurangan dalam mendengar bacaan Al-quran dan kemudian apabila ada peluang maka dia bersolah Tarawikh. Dengan cara ini bacaan Al-Qurannya pun tidak Terabai dan kerjanya pun tidak terganggu.
Setelah menyebut tentang puasa dan Tarawikh, Baginda S.A.W telah menumpukan perhatian kita kepada hal mengambil berat amalan-amalan fardhu dan sunat yang umum. Pahala satu amalan sunat adalah sama dengan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain dan pahala satu amalan fardhu adalah sama dengan tujuh puluh amalan fardhu di bulan yang lain.
Perlu kita renungkan keadaan ibadat-ibadat kita masing-masing. Pada bulan yang diberkati ini setakat mana kita mengambil berat pada amalan-amalan fardhu dan setakat mana terdapat pertambahan didalam amalan-amalan sunat.
Kecuaian kita terhadap amalan-amalan fardhu begitu ketara sehingga ada diantara kita yang tidur semula selepas bersahur maka solah subuhnya terpaksa diqadha ataupun sekurang-kurangnya kebanyakan orang akan terlepas dari solah berjemaah. Seolah-olah kita sanggup bersyukur diatas makanan yang dimakan ketika bersahur hanya dengan mengqadha satu perintah yang paling penting disisi Allah S.W.T atau sekurang-kurangnya menunaikan dalam keadaan cacat kerana ahli usul feqah menyatakan bahawa menunaikan solah tanpa berjemaah adalah satu amalan yang cacat. Disamping itu Rasulullah S.A.W telah bersabda "Solah orang yang berhampiran dengan masjid bukanlah solah kalau ia tidak ditunaikan dimasjid." Ditulis dalam kitab Mazahirul-Haq bahawa orang yang bersolah dengan tidak berjemaah tanpa sebarang uzur walaupun gugur kefardhuan dari tanggungjawabnya tetapi dia tidak akan mendapat pahala dari solahnya itu. Begitu juga solah Maghrib secara berjemaah turut terlepas kerana iftar(berbuka). Jauh sekali dari mendapat rakaat pertama atau takbir pertama bersama imam. Ramai yang terlalu ghirah menunaikan Tarawikh makan ada diantara mereka yang menunaikan solah Isya' sebelum waktunya.
Inilah Keadaan solah kita pada bulan Ramadhan Al-Mubarak yang merupakan fardhu yang paling penting. Disebabkan satu fardhu, tiga fardhu yang lain telah disia-siakan. Fardhu-fardhu ini adalah biasa, sedangkan kita lihat dengan mata kita sendiri bahawa terdapat juga solah zohor dikorbankan kerana kita tidur pada waktu tengah hari, Solah Asar dikorbankan kerana kita sibuk membeli belah barang-barang untuk berbuka.
Seterusnya, tuan-tuan cuba perhatikan amalan-amalan fardhu yang lain. Sebanyak mana ia dilaksanakan di dalam Ramadhan. Jika begitulah keadaan amalan fardhu, maka keadaan amalan sunat tidak perlu dipersoalkan lagi. Dalam bulan Ramadhan solat isyak dan Dhuha terkorban kerana kita biasanya tidur. Bagaimana pula kita dapat melakukan solat Awwabin sedangkan baru sahaja berbuka puasa dan akan tiba masa untuk Tarawikh pula. Masa Tahajjud pula bertepatan dengan waktu bersahur, dimanakah hendak dicari masa lapang untuk solat sunat. Semua ini sebenarnya kerana kurang kesungguhan dan tidak ada keinginan untuk melakukannya.
"Kalau hendak seribu daya kalau tak hendak seribu dalih"
Berapa ramai hamba-hamba Allah yang masih ada kelapangan untuk melakukan semua perkara tersebut pada masa itu. Saya telah melihat guru saya Hazrat Maulana Khalil Ahmad Rah. didalam beberapa bulan Ramadhan. Walaupun telah tua dan uzur beliau masih lagi selepas bersolah Maghrib dapat membaca Al-Quran didalam solah atau memperdengarkan bacaanya kepada orang ramai sabnyak satu dan satu perempat juz Al-quran. Selepas itu setelah menyempurnakan makan minum dan lain-lain keperluan yang mengambil masa selama setengah jam, beliau akan menghabiskan dua hingga dua satu perempat jam didalam Tarawikh semasa tinggal di Madinah. Selepas itu, mengikut perubahan musim, setelah berehat selama dua hingga tiga jam, beliau akan membaca Al-Quran didalam Tahajjud dan setengah jam sebelum subuh beliau akan makan sahur. Selepas bersahur sehinggalah Subuh, kadang-kadang beliau membaca Al-quran secara hafalan dan kadang-kadang beliau sibuk dengan wirid dan zikir-zikir.
Dalam Keadaan kekaburan fajar beliau akan menunaikan solah subuh dan terus duduk sehingga Isyraq dalam keadaan muraqabah. Selepas Isyraq beliau berehat selama lebih kurang satu jam. Setelah itu sehinggalah pukul 12, atau pukul satu tengah hari semasa musim panas beliau sibuk menulis kitab "Bazlul Majhud" dan memerhatikan surat-surat serta merencanakan jawapannya. Selepas itu beliau berehat hingga ke Zohor. Dari Zohor hinggalah ke Asar beliau mentilawah Al-Quran. Dari Asar hingga ke Maghrib beliau sibuk dengan bertasbih dan melayan para tetamunya. Setelah selesai dari penulisan "Bazlul Majhud" sebahagian dari waktu paginya dihabiskan dengan membaca Al-quran dan sebahagian lagi waktu mentelaah kitab. Biasanya Kitab "Bazhul Majhud" dan "Wafaul-wafa" yang menjadi tumpuan perhatiannya.
Pada bulan Ramadhan pula tiada perubahan yang khusus dalam amalan-amalannya. Solah sunat itu adalah salah satu amalan yang berterusan dan beliau mengambil berat solah-solah tersebut disepanjang tahun. Cuma rakaat-rakaatnya diperpanjangkan di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Selain dari itu terdapat ahlullah-ahlullah yang mempunyai amalan yang khusus untuk Ramadhan yang memang berat bagi setiap orang untuk mengikuti mereka.
Syaikhul-Hind Maulana Mahmudul Hasan Ganggohi Rah. pula sibuk dengan hanya membaca Al-Quran siang dan malam pada bulan Ramadhan sehingga surat-menyurat pun dihentikan dan beliau tidak begitu suka untuk ditemui. Cuma murid-muridnya yang khusus sahaja diizinkan untuk datang bertemu itu pun sekadar masa beliau meminum secawan dua teh selepas solah Tarawikh.
Kisah-kisah Ahlullah ini ditulis bukan tujuan supaya ia dibaca dengan sepintas lalu sahaja ataupun supaya dipuji. Sebenarnya ia bertujuan supaya dicontohi sesuai dengan kemampuan masing-masing dan seboleh-bolehnya ia diusahakan untuk disempurnakan kerana setiap cara mempunyai keistimewaannya tersendiri yang mengatasi antara satu sama lain. Bagi mereka yang tidak terikat dengan kesibukan duniawi, sangat baik kalau mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk menggunakan seluruh bulan ini dengan sebaik-baiknya setelah mereka mensia-siakan sebelas bulan sebelumnya. Mereka yang bekerja dengan majikan yang terpaksa bekerja dipejabat dari pagi hingga ke petang, apa susahnya jika mereka habiskan waktu pagi sebelum ke pejabat dengan membaca Al-quran. Biasanya untuk keperluan duniawi yang lain pun kita tetap juga meluangkan masa selain daripada masa pejabat untuknya.
Bagi para petani pula, tidaklah mereka bekerja dengan man-mana majikan dan tidak juga mereka mesti mengikut peraturan yang tidak boleh diubah ataupun bukanlah mereka tidak boleh membaca Al-Qurab ketika duduk-duduk di kebun. Untuk para peniaga, Mereka langsung tidak menghadapi apa-apa kesusahan. Mereka boleh mengurangkan sedikit masa perniagaan mereka ataupun paling kurang mereka dapat membaca Al-Quran sambil berniaga. Ini adalah kerana bulan Ramadhan Al-Mubarak ini mempunyai kaitan yang rapat dengan Kalamullah. Oleh kerana itulah secara umumnya semua kitab-kitab allah diturunkan pada bulan ini. Lantaran itu Al-Quran Ul- Karim keseluruhannya diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia pada bulan ini dan kemudian sedikit demi sedikit ke dunia bersesuaian dengan peristiwa dalam masa dua puluh tiga tahun.
